Misteri“Sephia”

January 11, 2023

“Sephia”, Sebuah lagu ciptaan Sheila on 7 (SO7) menjadi antara lagu terhangat di Malaysia pada awal tahun 2000-an. Lagu yang dicipta oleh gitaris SO7, Eross Candra seolah-olah menceritakan tentang seorang kekasih lama. Tapi, siapakah sebenarnya wanita yang digelar Sephia itu?

Untuk seorang peminat

Sehingga hari ini, peminat-peminat Sheila on 7 pasti akan tahu tentang gerangan bernama Sephia kerana disebalik pembuatan lagu Sephia, terdapat beberapa misteri seram yang dialami oleh penulis lagu itu sendiri!

Diceritakan, lagu berjudul Sephia itu sebenarnya didedikasi kepada seorang peminat SO7 dengan nama yang sama. Tapi apa yang istimewa tentang peminat ni?

Siapa “Sephia”?

Pada suatu malam, Eross telah menerima satu panggilan daripada nombor telefon awam. Apabila Eross angkat dan bertanya, pemanggil tu gelarkan dirinya sebagai Sephia dan memberitahu yang dirinya merupakan peminat SO7.

Apa yang membuatkan cerita ni seram adalah apabila Eross bertanya untuk berjumpa dengan Sephia, peminat tu hanya jawab yang dia berada di hadapan rumah Eross.

Tetapi apabila Eross mengintai, telefon awam dekat depan rumahnya tak ada orang!

Eross membuat pencarian tentang peminat dia tu dan akhirnya berjaya mengenali ibu bapa Sephia dan terus mengunjung mereka.

Nak dijadikan cerita, ibu bapa Sephia ni beritahu yang Sephia telah pun meninggal semasa dalam perjalanan ke salah satu concert mereka dan sehingga kini telah menjadi sebuah misteri siapakah sebenarnya Sephia yang menghubungi Eross pada malam tu.

Jangan Seru Sephia!

Terdapat beberapa khabar angin di media sosial yang lagu Sephia ni sebenarnya berhantu.

Jika dinyanyikan pada waktu tengah malam, dikatakan yang Sephia ini akan datang menghantui penyanyi tersebut.

Seorang penyanyi terkenal Malaysia, Kuchaimas dikatakan telah menjadi salah seorang mangsa kepada hantu “Sephia” ni bila dia menyanyi lagu Sephia dalam salah satu Instagram live dia.

Pada akhir live dia, kedengaran pintu yang dihempas dengan sangat kuat selepas Kuchaimas habis nyanyikan lagu Sephia.