Busung Katak, Santau Yang Membunuh

November 20, 2020

Santau atau sihir amat sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu. Ianya sering digunakan untuk memberi ‘sesuatu’ yang mereka ingin kepada sang penerima.

Santau juga ada pelbagai jenis bentuk antaranya santau angin dan busung katak. Tidak ramai orang mengetahui tentang kewujudan santau busung katak ini.

Santau ini merupakan antara yang paling bahaya dan ianya sering digunakan untuk menganiaya orang lain.

Apa Itu Busung Katak?

Santau ini kebiasaannya permainan orang asli. Katak hidup yang ditangkap akan dimatikan dengan cara tertentu.

Sebaik sahaja katak itu sudah mati, ia akan dibacakan sesuatu serta menyeru nama orang yang hendak disantau.

Katak itu akan ditiup pada mulutnya menggunakan sebatang buluh kecil sehingga kembung perutnya.

Pekara sama akan menimpa sang penerima apabila perutnya turut akan mengembung seperti katak tersebut.

Membawa Maut

Santau ini merupakan santau yang paling bahaya kerana ianya mampu membawa maut kepada siapa yang terkena.

Orang yang kena santau ini akan mengalami tanda gangguan iaitu apabila menjelang asar hingga ke malam, perut yang disantau itu tiba-tiba buncit serta mengeras dan turut berasa benda bergerak dan mencucuk-cucuk.

Nafas juga akan tersekat-sekat seperti sukar bernafas. Kadang-kadang perut orang di santau itu akan pulih seperti biasa tapi akan kembali busungnya seolah-olah seperti sebuah permainan!

Pesakit akan mengalami mimpi kubur, tempat kotor, mimpi ular hitam atau binatang berbisa. Mimpi tersebut merupakan tanda bahawa mereka sedang disantau.

Ada juga antara mereka mimpi tentang makhluk hodoh dan sering nampak kelibat atau lintasan lembaga hitam.

Malah, ada sesetengah daripada pesakit itu akan lemah semangat. Mereka juga akan meracau seperti kerasukan, lagi-lagi menjelang waktu maghrib.

Sakit yang mereka alami itu tidak terkata kerana urat di sekitar perut akan kejang dan perut mereka turut mengeras seperti batu. Sakit itu akan beransur surut lepas waktu isyak.

Pesakit juga akan berasa sakit semula pada waktu tengah malam sama seperti tadi. Adakalanya mereka turut terdengar suara sayu-sayu memanggil nama mereka.

Santau busung katak ini mestilah dirawat dengan segera kerana jika tidak dirawat, ianya boleh membawa maut.

Sudah tentu lah hanya perubatan Islam seperti ruqyah mampu merawat mereka yang terkena santau ini.

Apa-apa pun, berbuat baiklah dengan semua orang. Kalau dah kena santau ini memang menangis tak berlagu lah nak menahan sakitnya tu, seram betul!