Bila cakap pasal hantu penanggal, mesti imej dalam otak terbayang kepala perempuan terapung dengan usus.
Hantu penanggal ni boleh dikatakan antara hantu lejen Malaysia yang sampai sekarang bukan budak-budak je takut, orang dewasa sekali kalau ternampak.
Mungkin di antara kita ingat hantu penanggal ni adalah sejenis hantu atau jin tapi macam mana kalau dia bukan hantu tapi sebenarnya manusia?
Penanggal dipanggil hantu disebabkan rupanya yang seram dan menakutkan. Asalnya, penanggal ini adalah seorang manusia yang kebanyakannya wanita yang telah menuntut ilmu hitam untuk kepentingan sendiri. Selalunya ilmu itu adalah untuk mengekalkan kecantikan dan untuk hidup kekal selamanya.
Ada juga yang cakap penanggal ni adalah penyakit keturunan. Mereka yang mengamalkan ilmu penanggal ni akan menjangkitkan keturunan dorang melalui makanan. Bila keturunan dorang makan makanan tu, maka terlekatlah ilmu itu kat dorang.
Jadi, penanggal ini sebenarnya adalah manusia jadian yang telah mengamalkan ilmu hitam secara turun-temurun sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Selalunya ilmu ini akan diwarisi dari ibu dan turun kepada anak-anaknya.
Disebabkan penanggal adalah sejenis makhluk yang kepala dengan ususnya terbang, darah yang menitik dari usus tu dikatakan berbisa dan boleh buat orang yang terkena bisa tu dapat kudis.
Zaman dulu, kadar kematian ketika bersalin akibat tumpahan atau kehilangan darah adalah tinggi. Masa tu, ramai percaya perkara ini terjadi sebab perbuatan penanggal.
Penanggal memang suka dengan darah perempuan yang bersalin. Sebab tu ramai perempuan lepas bersalin akan mati kerana penanggal tu hisap darahnya.
Biasanya, orang yang mengamalkan ilmu hantu penanggal akan simpan tempayan cuka untuk memeram usus dorang bagi kecut sebelum bercantum masuk balik dalam badan asal.
Ada yang cakap, kalau nak tahu seseorang itu amalkan ilmu hantu penanggal, terbalikkan tubuh asal dia. Nanti bila kepala dia bercantum semula dengan badan asal, kepalanya akan terbalik dan terbongkarlah rahsia bahawa orang itu adalah hantu penanggal.
Disebabkan penanggal ni suka dengan darah perempuan bersalin, untuk melindungi diri mereka daripada darahnya dihisap, kebiasaannya mereka akan letak daun mengkuang yang berduri dekat keliling rumah.
Dikatakan cara itu boleh menakutkan penanggal untuk dekat dengan rumah tersebut sebab makhluk tu takut kalau ususnya tersangkut di duri daun. Ada juga yang tanam nenas di bawah rumah nak elakkan penanggal masuk dari bawah.
Tapi bagi yang duduk rumah kampung macam zaman dulu tu bolehlah buat, yang duduk rumah zaman sekarang ni? Apa boleh buat, kalau terjumpa tu, jangan tegurlah, tu je.