Bila bercakap pasal ‘Ulek Mayang’ automatik orang akan kata lagu itu berhantu, sampai suruh jangan nyanyi walau sepatah pun sebab takut kena kacau dengan makhluk halus.
Tapi kan, macam mana lagu dan tarian asal dari Terengganu ini boleh dikatakan berhantu pula?
Nak dijadikan cerita, pada zaman dahulu sebelum kedatangan Islam, masyarakat Tanah Melayu mengamalkan kepercayaan animisme iaitu kepercayaan kepada roh.
Mengikut legenda orang dulu-dulu, ada sekumpulan nelayan keluar ke laut nak tangkap ikan. Tiba-tiba masa dekat tengah laut, ada ribut pula datang sehinggakan mereka semua tercampak ke dalam laut. Disebabkan dah penat dan tenaga pun takde, ke semuanya pengsan dan dihanyutkan ke pantai.
Tak lama lepas itu, seorang demi seorang terjaga tapi ada seorang ni masih lagi belum sedarkan diri. Mereka syak bahawa yang seorang ni rohnya terperangkap di alam Bunian. Tanpa melengahkan masa, mereka pun panggil bomoh untuk merawatnya.
Dikatakan masa nak kembalikan roh nelayan tersebut ke dalam badannya, bomoh tu mengalami pertarungan yang sengit dengan Puteri Bunian. Seorang demi seorang adik-beradik Puteri Bunian itu datang sehinggalah muncul Puteri Bunian ke-7, yang katanya puteri yang sulung.
Sebab itu dalam lagu Ulek Mayang ada lirik yang berbunyi “aku tahu asal usul mu, biarkan yang laut pulang ke laut, yang darat pulang ke darat”, kiranya Puteri Bunian ke-7 ni membenarkan roh nelayan tu pulang ke badannya.
Lagu ini dikatakan adalah mantera untuk menghalau roh. Bomoh zaman dulu akan buat upacara menghalau roh ini di tepi pantai, diiringi dengan muzik dan tarian. Biasanya ritual ini akan dilakukan pada waktu malam kepada mereka yang terkena penyakit mistik seperti kerasukan, tidak sedar diri dan sebagainya.
Maksud Ulek atau Ulit ini ialah berdondang atau mengulit-ngulit atau bahasa mudahnya, menyeru-nyeru dengan nama memujuk-mujuk untuk kembali semula. Jadi, kiranya bomoh menggunakan mantera ini sebab nak suruh roh orang itu balik semula ke badannya.
Tapi lepas kedatangan Islam, lagu Ulek Mayang ini telah ditukar dan dibuang perkara-perkara khurafat. Tariannya juga kini adalah untuk tujuan hiburan saja. Meski pun begitu, mistik Ulek Mayang ini masih berlaku apabila ada beberapa pengalaman orang lain mengatakan diganggu atau dirasuk bila lagu itu berkumandang.
Tak kiralah versi lama atau versi baru, yang pasti lagu Ulek Mayang ini tak boleh sesuka hati dinyanyikan kerana asalnya adalah sebuah mantera. Bila orang dengar lagu itu, tak sah kalau bulu roma tak meremang.
Terutamanya kalau dengar versi asal, kirim salam ajelah nak tidur lena sebab memang takkan dapat.