“Dah Tahu Ke?”

April 26, 2022

Aku membuat keputusan untuk tidak mengikut keluargaku pulang ke kampung atas alasan perlu menyiapkan kerja kursus prinsip perakaunan yang perlu dihantar Isnin depan.

Ibu risau aku berseorangan di rumah, jadi dia pesan untuk ajak dua tiga orang kawanku untuk bermalam di rumah dan teman aku sepanjang ketiadaan mereka.

Okay, aku setuju. Lagipun ibu macam dah bagi ‘greenlight’ nak buat parti liar.

Tak.

Tak, aku gurau je. Takde parti liar, parti tengok movie sampai esok pagi mungkin ada.

Apapun, setelah mereka berangkat, terus aku call dua orang rakanku, Alisa dan Aishah untuk ke rumah dan menemaniku sementara ahli keluargaku yang lain pulang ke kampung di Johor.

“Yes, mereka bersetuju. Boleh la kami enjoy puas-puas,” ujar hati kecilku selepas menelefon mereka.

Dua jam selepas panggilan dibuat, loceng rumah kedengaran.

Aku yang tengah khusyuk menghadap phone, terkejut. Mana taknya, sekarang tengah hujan lebat, ditambah pula dengan bunyi kilat sabung menyabung, memang boleh luluh jantung.  

Dengan teruja aku mencapai pintu rumah yang separa tertutup untuk melihat siapa yang menderingkan loceng. Siapa lagi kalau bukan Alisa dan Aishah, yang masih tercegat dekat luar dengan hujan lebatnya.

“Hoi! Masuklah, buat apa tercegat luar rumah tu? Hujan ni.” jerit aku dari dalam.

Tanpa berkata panjang, mereka pun melangkah masuk ke dalam rumahku dalam keadaan basah kuyup. Kasihan aku tengok.

“Sorry Izni, basah sikit sebab kitorang jalan kaki tadi,” Alisa meminta maaf sambil memeluk tubuh, sementara Aishah kelihatan menggigil kesejukan.

“Eh takpe, korang datang ni pun dah cukup bagus dah. Aku rasa better korang tukar baju dulu, kang tak memasal demam pulak anak orang,” kataku, berseleroh.

Alisa dan Aisyah tersengih.

“Ye la, kalau tak kitaorang demam, rumah kau banjir pula nanti,” balas Aishah.

“Eh kau ni. Dah, bilik air dekat belakang tu, nanti aku bagi baju, korang buat lah macam rumah sendiri ye,”

Lepas aku dah bagi baju, aku tunggu mereka di ruang tamu sambil jariku menekan butang alat kawalan jauh untuk mencari cerita yang menarik di TV.

Sesudah mandi, mereka duduk bersamaku di ruang tamu dan kami akhirnya memilih untuk menonton filem seram. Best juga layan cerita seram hujan-hujan ni.

Tak sampai 10 minit tengok movie, Aisyah bersuara.

“Laparlah, patut ke kita order pizza untuk makan malam?” Aishah bertanya sambil menggosok-gosok perutnya.

“Aku setuju. Lama juga aku tak makan pizza. Apa kata kita call Domino’s. Aku mengidam dari haritu,” sambung Alisa.

Aku pun apalagi, terus capai phone dan call Domino’s untuk membuat pesanan. Sambil menunggu pesanan kami sampai, kami pun sambung menonton filem.

Mungkin sebab hujan lebat kot sebab sampai dah habis movie pun, pizza tak sampai. Tapi takpelah, sempat juga kitaorang mengulas movie tadi dengan ada selit-selit lawak sikit.

Ye la, dah la tengok movie seram lepas tu bertiga je dalam rumah ni, perempuan pula tu. Jadi, wajiblah kita ‘nyah-seramkan’ suasana daripada movie tadi.

Tengah seronok bersembang, loceng berbunyi dan hujan pun dah berhenti.

Haa, betul la tu abang hantar pizza tunggu hujan berhenti.

Apapun, dengan perut yang semakin diminta untuk diisi, aku pun bergegas ke pintu untuk ambil pizza.

Tapi langkah aku berhenti sejurus aku buka pintu. Nafas pula rasa macam tersekat.

“Izni! Sorry lambat, kitorang tunggu hujan berhenti tadi. Lama ke kau tunggu?” jerit Alisa dari luar pagar rumahku.

Ni bukan abang hantar pizza.

Kalau dekat luar ni Alisa dengan Aishah, habis dekat dalam rumah ni siapa? Yang aku bercakap dari tadi tu siapa?

Dengan bunyi jantung yang kuat bergema dalam diri aku ni, aku gagahkan diri untuk pusing badan aku ke arah ruang tamu.

“Kenapa tu? Dah tahu ke?” kata salah seorang daripada mereka yang duduk di hadapan TV tadi kepadaku, sambil tersenyum.

Ah….sudah..