Aku kerja sebagai seorang pemandu ambulans. Aku selalu rasa tugas seorang pemandu ambulans ini sebenarnya memerlukan mental yang kuat sebab macam – macam jenis panggilan yang hospital dapat – daripada kemalangan jalan raya, kecederaan dalam kilang, kes overdose dan lain-lain.
Tapi ada satu kejadian ni yang memang aku akan ingat sampai bila – bila.
Ada satu hari tu, pihak call center terima panggilan jam 10.45 malam daripada seorang lelaki yang mengatakan housemate dia dah tak sedarkan diri, dipercayai menggantung dirinya. Katanya lagi, badan housemate dia masih hangat tapi dah tak bernafas.
Aku pun lepas dengar benda tu, terus memecut laju sebab aku fikir masih ada harapan lagi kalau nak selamatkan lelaki tu. Lokasi yang diberikan pula agak pedalaman dan jauh ke dalam, di mana terdapat sebuah kawasan perumahan teres yang baru dibina.
Sampai je kat kawasan perumahan tersebut, Shazri, salah seorang medical assistant (MA) yang menemani aku untuk menguruskan pesakit, mulai melihat skrin telefonnya untuk mencari rumah pesakit.
Alamat yang diberikan agak mengelirukan, tambahan pula nombor rumah dan lorong rumah-rumah yang tak ikut urutan. Bayangkanlah, ada rumah nombor 3 tapi sebelahnya nombor 8 dan sebelahnya lagi no 21. Rumah nombor 7 memang kami tak nampak langsung setelah 5 minit kami pusing – pusing.
Lepastu waktu dah pukul 11 malam, memang tak nampak sesiapa untuk ditanya. Aku dah start resah sebab kes-kes sebegini, setiap saat itu sangat berharga. 1 saat boleh membezakan antara pesakit hidup ataupun mati.
Pemuda yang membuat panggilan tadi pun dah cakap yang dia akan berdiri di luar rumah bagi memudahkan urusan kami mencari rumah tu tapi still susah juga kami nak jumpa.
Tiba – tiba, sampai kat satu selekoh, aku nampak ada seorang lelaki melambai – lambai tangan. Lelaki berpakaian seluar paras lutut berwarna biru dan berbaju hijau itu berdiri di sisi jalan dan ibarat dia tahu kami mengalami kesukaran untuk mencari rumah pesakit.
Aku memberhentikan ambulans sambil membuka tingkap belah penumpang.
“Abang, cari rumah pesakit ke?”, tanya dia.
“Ya, encik tahu rumah nombor 7 di mana tak?”, Shazri bertanya kepada pemuda tersebut, yang mempunyai rambut belah tengah itu.
“Depan sana bang, belok kiri, kemudian ada 2 lorong dan ada signboard kat situ, abang masuk lorong 4/2. Rumah yang ketiga ”, katanya dengan nada lembut sahaja.
“Baik, terima kasih ya”, aku berkata kepadanya sebelum aku meneruskan perjalanan.
Sampai di lorong berkenaan, memang jumpa lah rumah tersebut. Lorong tu pulak memang tak lalu tadi sebabkan sistem nombor rumah yang pelik.
Sampai je depan rumah tersebut, aku turun dan membuka pintu belakang dan Shazri masuk ke dalam rumah tersebut membawa beg berisi pelbagai alatan perubatan.
Aku ikut dia kerana memang kebiasaannya, aku mendengar arahan daripada MA, sama ada aku perlu untuk mengeluarkan stretcher ataupun tidak.
Aku rasa pelik, sebab lelaki tu dah ditutup wajahnya dengan tuala putih oleh rakannya sedangkan pengesahan kematian belum dibuat lagi. Shazri pegang leher pesakit untuk rasa nadi masih ada atau tak.
Lepastu, Shazri menggunakan tangannya yang sebelah lagi dan terus menarik tuala putih yang menutupi wajah pesakit untuk melihat wajahnya bagi mengesahkan kematian pesakit.
Tetapi, saat terlihat wajah pesakit tersebut, kami berdua tergamam dan pucat.
Wajah pesakit ni….
Sama macam wajah orang yang tunjukkan kami jalan ke rumah ni tadi.
Memang sebijik, dengan rambut belah tengahnya, dan pakaian yang sama, berseluar biru paras lutut dan berbaju berwarna hijau.
Tapi wajahnya, aku tak berani nak pandang lama-lama.
Mana taknya, matanya terbeliak dengan lidahnya yang terjelir. Air liur yang banyak mengalir daripada mulutnya serta wajahnya yang biru itu.
Shazri, walaupun dia sendiri masih cuak dan pucat, menggelengkan kepalanya kepadaku, menandakan bahawa pesakit tersebut sudah pun mati. Sememangnya, badannya sudah pun keras kejung dan kaku. Tiada pernafasan dan tiada nadi.
Pengesahan kematian dibuat, dan agak kelakar jika difikirkan kerana Shazri, dengan wajahnya yang cuba untuk mengawal ketakutan dan cuba sedaya upaya untuk ‘control macho’, tetapi tangannya terketar-ketar mengisi dokumen dan borang pengesahan kematian.
Untuk kes sebegini, Shazri menghubungi pihak polis untuk selesaikan memandangkan kematian sebegini perlu disiasat dan post-mortem perlu dibuat.
Kami berdua keluar daripada rumah tu sejurus pihak polis tiba. Masuk je dalam ambulans, aku start drive nak kembali ke hospital. Memang masa tu kami diam, kelu dan tak cakap apa – apa langsung.
Sampailah dah keluar daripada kawasan perumahan tu, baru aku bersuara.
“Aku rasa kau tahu apa yang aku tahu kan?” aku tanya Shazri, dengan berhati-hati.
Shazri angkuk perlahan sebelum membalas “Haah, tapi tunggu jauh sikit lah baru cerita. Aku takut kang ada yang mengikut kita ni,”
Aku angkuk tanda setuju. Last-last kita orang tak cakap langsung pasal benda tu dan terus balik.
Esoknya, aku dapat tahu Shazri demam panas.
Dan aku pula, mula rasa tak sedap badan. Otak aku secara tak langsung, teringat benda yang jadi malam semalam.
Ah, sudah, ni petanda yang tak elok ni……