Penunggu Stuckey’s Bridge

January 16, 2023

Kisah-kisah berkaitan penunggu jambatan ni mesti ada kaitan sebab dibunuh dekat dengan kawasan tu ataupun dijadikan korban untuk buat jambatan tu.

Tapi, macam mana kalau penunggu jambatan yang ni sebenarnya adalah seorang pembunuh bersiri? Dan dikatakan masih ada yang terserempak dengan jelmaan penunggu jambatan tu?

Jambatan dengan Mimpi Ngeri

Dekat Mississippi, Amerika Syarikat, ada satu jambatan ni yang dikenali sebagai Jambatan Stuckey (Stuckey’s Bridge), yang pada asalnya dibina sebagai laluan utama orang ramai nak seberang Sungai Chunky.

Kalau ikut dokumen dalam Arkib Daerah Launderdale, kontrak nak bina jambatan ni dilulus pada tahun 1847 dan dijangka siap tiga tahun kemudian, iaitu pada 1850. Lepas tu, digantikan dengan jambatan baru pada tahun 1901 yang dibina oleh Virginia Bridge and Iron Company.

Tapi, kenapa dinamakan Stuckey’s Bridge dan bukan nama lain?

Ikut legenda orang Mississippi, jambatan tu dinamakan sedemikian sebab seorang lelaki yang bernama, Stuckey. Dikatakan dia ni salah seorang Geng Dalton (Dalton Gang), geng penjenayah di Barat Lama Amerika pada tahun 1890 hingga 1892. Geng ni terkenal dengan rompakan bank dan kereta api.

Rumah penginapan untuk pengembara?

Mamat Stuckey ni katanya nak tinggalkan geng dia, jadi dia bina rumah penginapan berdekatan dengan jambatan ini untuk pengembara lepaskan penat lelah.

Tapi, sebenarnya dia buat untuk tujuan yang sangat jahat, di mana dia akan berdiri di jambatan tu dengan tanglungnya dan tarik orang yang lalu-lalang untuk ajak mereka singgah di rumah penginapannya.

Sebaik saja ‘tetamunya’ tidur, dia pergi ke biliknya lepas tu bunuh, curi barang kepunyaan mangsa dan kemudian tanam mayat-mayat tersebut dekat tebing sungai.

Pada awalnya, tiada siapa perasan perbuatan dia sehinggalah pembunuhannya yang ke-20, dia ditangkap dan dihukum gantung di pagar jambatan.

Penampakan Hantu Stuckey

Dikatakan ramai terserempak dengan hantu Stuckey di jambatan ini
Sumber dari: Country Roads Magazine

Sejak kematian Stuckey, ramai yang cakap ada nampak hantu Stuckey dengan tanglung dekat sepanjang sungai. Ada juga yang cakap nampak hantu tu tergantung dekat jambatan selain dengar percikan air yang kuat, kononnya bunyi badan Stuckey jatuh dalam air lepas kena potong dari tali gantung.

Lagi seram, ada juga penduduk cakap pernah jumpa hantu Stuckey ni. Seorang penduduk ni pernah jumpa hantu dia sampai pernah ditolak keluar daripada jambatan.

Agak-agak, ada yang nak pergi tengok jambatan ni ke? Jangan berani sangat, tak pasal-pasal lari tak cukup tanah nanti.