Tragedi sumpahan Mahsuri

April 29, 2020

Bila sebut pasal Pulau Langkawi, mesti orang ramai akan kaitkan pulau peranginan tu dengan satu legenda yang cukup sinonim dengan pulau tersebut.

Siapa aje yang tak tahu pasal kisah Mahsuri, seorang wanita yang punya rupa cantik dan peribadi lemah lembut yang telah menjatuhkan sumpahan atas Pulau Langkawi.

Wanita Diidami Ramai

Mengikut legenda pulau tersebut, Mahsuri adalah anak kepada Pandak Mayah dan isterinya, Endak Alang. Mahsuri dididik dengan nilai melayu dan agama yang cukup. 

Kejelitaan dan perwatakan Mahsuri telah menjadikannya rebutan jejaka pulau sehingga membawa kepada cemburu wanita lain. 

Akhirnya Mahsuri berkahwin dengan Wan Darus, seorang pahlawan gagah yang punya rupa yang tak kurang tampannya. Pasangan ni dikurniakan seorang anak lelaki, Wan Hakim. 

Tuduhan Punca Sumpahan

Sumpahan Mahsuri terjadi bila dia dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Deramang, seorang lelaki yang bekerja dengan bapa Mahsuri. 

Tuduhan tu terjadi bila ada yang nampak Deramang masuk ke rumah Mahsuri, padahal kedatangannya hanyalah untuk menjaga anak Mahsuri sementara Mahsuri ada di bendang.

Mahsuri berkali-kali mengatakan yang dia tak bersalah tapi rayuan dia tak didengar. Mahsuri ditangkap dan diikat pada sebatang pokok. Penghulu Langkawi, Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya, menusuk badan Mahsuri dengan dua bilah lembing yang tajam tapi tak berjaya.

Orang ramai yang menyaksikan hukuman tu terkejut bila dua bilah lembing yang tajam itu tak mampu menembus tubuh Mahsuri walaupun berkali-kali dicuba. 

Berasa kepenatan diseksa sebegitu, Mahsuri akhrinya beritahu mereka bahawa ada sebilah lembing kepunyaannya di rumah yang mampu membunuhnya. 

Wan Yahya pun mengarahkan lembing tu diambil dan terus menikam Mahsuri dengan lembing tu. Tapi sebelum Mahsuri menghembus nafasnya yang terakhir, sempat dia melafazkan kata-kata seperti sumpahan bahawa Pulau Langkawi tak akan makmur dan aman selama tujuh keturunan yang mendatang.

Setelah iu, darah putih pun mengalir keluar dari badan Mahsuri, menandakan dia telah pergi buat selamanya. 

Makam Mahsuri.
Sumber: iluminasi.com

Sumpahan Menjadi Realiti

Sumpahan Mahsuri memang betul termakbul. Lepas genap tujuh hari kematiannya, Pulau Langkawi mula dimasuki oleh tentera Siam. Kemusnahan dan kematian berlaku di serata tempat. 

Sebelum 1980-an, boleh dikatakan ada lebih banyak kerbau berbanding manusia kat Langkawi. Ada juga tragedi seperti Beras Terbakar dan seangkatan dengannya yang dikaitkan dengan sumpahan Mahsuri.

Tapi menjelang 1980-an, Langkawi dikatakan menjadi lebih makmur. Ada yang percaya ia berlaku sebab keturunan ke tujuh Mahsuri telah lahir dan dialah yang menamatkan sumpahan tu, dan juga kerana pembinaan makam Mahsuri yang dijumpai oleh Tunku Abdul Rahman.

Tak ada siapa tahu betapa sahihnya cerita Mahsuri ini, tapi kalau dinilai tragedi yang berlaku di Langkawi lepas kematiannya, mungkin ada juga benarnya.